MAJLIS PELAJAR BAHARU PROGRAM ASASI SAINS PERTANIAN SESI 2024/2025 BERSAMA PENGURUSAN UNIVERSITI | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » MAJLIS PELAJAR BAHARU PROGRAM ASASI SAINS PERTANIAN SESI 2024/2025 BERSAMA PENGURUSAN UNIVERSITI

MAJLIS PELAJAR BAHARU PROGRAM ASASI SAINS PERTANIAN SESI 2024/2025 BERSAMA PENGURUSAN UNIVERSITI

1 Ogos 2024 – Majlis Pelajar Baharu bagi Program Asasi Sains Pertanian Sesi 2024/2025 telah diadakan dengan jayanya pada malam 1 Ogos 2024 (Khamis) di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis ini merupakan program tahunan Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra) yang melibatkan pelajar ASPer yang baru mendaftar pada 25-26 Julai 2024 yang lalu (seramai 769 orang) bersama pihak  Pengurusan Universiti .

 

Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah. Beliau turut diiringi oleh YBhg. Prof. Dr. Zamberi Sukawi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Chancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin, Timbalan Naib Chancelor (Jaringan Industri dan Masyarakat), YBrs. En. Mahbob Yusof, Ketua Pustakawan, Pejabat Ketua Pustakawan, YBrs. Pn. Ir. Maznah Sahran, Pengarah Pembangunan dan Pengurusan Aset, YBrs. Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah, Pengarah ASPutra, barisan pengurusan dan tenaga akademik Pusat Asasi Sains serta pegawai-pegawai Universiti Putra Malaysia.

Ketibaan Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Professor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah diiringi oleh Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah, Pengarah ASPutra serta pegawai tertinggi Universiti Putra Malaysia

Majlis dimulakan dengan bacaan doa bagi memanjatkan kesyukuran kerana dapat berhimpun bersama-sama antara para pelajar ASPutra yang baharu bersama Pengurusan Universiti disamping memohon keberkatan majlis dari Allah S.W.T. Majlis dimeriahkan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Putra Gemilang oleh semua yang berada di dalam dewan dalam suasana yang penuh semangat. Ucapan alu-aluan Pengarah ASPutra, YBrs. Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah dimulakan dengan menyatakan kesyukuran di atas pelaksanaan majlis Ikrar pelajar baharu program asasi sains pertanian sesi 2024/2025 tersebut yang disaksikan oleh Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan pengurusan tertinggi universiti. Beliau menyatakan bahawa ASPutra merupakan entiti penting dalam universiti dalam bidang akademik yang menawarkan pengajian asasi sains seperti biologi, kimia, fizik dan matematik. Selain itu, ASPutra UPM merupakan satu-satunya universiti awam yang mengetengahkan pendidikan tinggi dalam bidang pertanian.

 

Majlis tersebut diteruskan dengan ucapan daripada Naib Canselor, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah. Beliau mulakan ucapan dengan mengalu-alukan kedatangan dan ucapan selamat datang kepada semua pelajar baharu dan seterusnya beliau memperkenalkan pegawai tertinggi universiti, pengetua-pengetua kolej serta tenaga akademik kepada semua pelajar yang hadir pada malam tersebut. Beliau telah menitipkan pesanan dan nasihat-nasihat yang sangat berguna kepada para pelajar ASPutra termasuklah mengingatkan para pelajar meneruskan momentum dan semangat serta memaknakan masa sepanjang pelajar berada di universiti. Beliau juga turut mengingatkan pelajar bahawa masa itu pantas, maka pelajar perlu mengisi masa dan memaksimumkan potensi pelajar dalam menerima ilmu di asasi sains kerana ia akan menentukan masa depan pelajar. Beliau turut menyatakan bahawa di universiti inilah tempat pelajar menjadi lebih berdisiplin, dapat membuktikan kepada ibubapa serta keluarga bahawa pelajar mampu berdikari dan memiliki rasa tanggungjawab pada diri. Para pelajar juga seharusnya sentiasa ada ciri-ciri bantu membantu dan sokong-menyokong antara satu sama lain dan orang-orang sekeliling. Beliau menekankan moto “BERILMU BERBAKTI” kepada pelajar dimana masa yang diperlukan untuk pelajar menuntut ilmu perlu diteruskan, dan ilmu itu bukan sahaja ilmu yang diterima dalam bilik kuliah, tetapi juga ilmu yang pelajar timba daripada pengalaman kehidupan pelajar di Universiti Putra Malaysia. Beliau juga sempat merakamkan kata alu-aluan dan ucapan selamat datang kepada pelajar antarabangsa yang baru dan beliau menekankan bahawa walaupun pelajar antarabangsa ini minoriti dalam program asasi, pihak universiti akan memastikan pelajar ini juga sebahagian komuniti UPM dan dapat menyediakan pembelajaran dan pengalaman yang terbaik dan bermakna buat pelajar tersebut. Ucapan beliau diakhiri dengan ucapan tahniah dan syabas kepada para pelajar ASPutra yang baharu kerana memilih UPM sebagai destinasi utama dalam melanjutkan pengajian.

Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd Tah Pengarah ASPutra, dan harapan beliau kepada pelajar Baharu.

 

 

 Oleh itu, beliau juga menasihatkan dan mengingatkan pelajar supaya memanfaatkan masa dan jaga nama baik universiti ketika berada di ASPutra dan sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan, dan sentiasa patuh kepada peraturan Universiti dari masa ke semasa. Tidak lalai dan tersasar daripada matlamat sebagai pelajar. Beliau juga menyatakan iltizam ASPutra untuk menghasilkan graduan yang kualiti, berdaya saing dan berkebolehan membentuk identiti dan jati diri yang gemilang serta cemerlang di peringkat yang lebih tinggi.

 

Sekitar ucapan Naib Canselor, YBhg. Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah

Majlis seterusnya disempurnakan dengan bacaan ikrar pelajar yang diketuai oleh wakil pelajar ASPutra yang baharu, Mohamad Amin Faris Bin Mohamad Farid. Dengan bacaan ikrar tersebut, para pelajar baharu akur terhadap semua akta universiti dan kolej, di samping kesediaan mereka dalam menjaga etika, imej dan adab yang baik serta mengekalkan kecemerlangan sepanjang berada di program asasi di UPM. Tayangan montaj dan persembahan para pelajar ASPutra yang baharu telah menambahkan kemeriahan majlis ikrar tersebut.

 

Sekitar bacaan ikrar oleh wakil pelajar ASPutra yang baharu, Mohamad Amin Faris Bin Mohamad Farid dan simbolik ikrar yang disampaikan oleh Naib Canselor, YBhg. Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah

Antara persembahan pelajar yang diadakan bagi menyerikan lagi majlis

 

Gambar kenangan pelajar baharu Program Asasi Sains Pertanian Sesi 2024/2025 bersama pengurusan tertinggi UPM dan ASPutra

 

 

Disediakan oleh:

Dr. Norazlinaliza Salim

Date of Input: 02/08/2024 | Updated: 02/08/2024 | hasniah

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
S.2025/3/17:5:46:07~noCache