SERDANG, 30 Mei – Kem Jati Diri Siri 3, anjuran Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG), UPM telah berlangsung di Universiti Putra Malaysia bermula pada 29 Mei sehingga 31 Mei 2025. Pada hari kedua kem dilaksanakan, sesi pemindahan ilmu yang padat dengan aktiviti interaktif telah berlangsung meriah di Pusat Asasi Universiti Putra Malaysia (ASPutra).
Seramai 60 pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima dari Parlimen Tanjung Piai, Johor telah menyertai sesi berkenaan yang berlangsung pada hari kedua program. Sesi ini bermula seawal jam 9.15 pagi dengan kata aluan daripada Dr Noor Azmi Shaharuddin (Timbalan Pengarah I), diikuti taklimat pengenalan ASPutra yang disampaikan oleh Dr Muhammad Alif Mohammad Latif (Timbalan Pengarah II) yang memberi gambaran awal mengenai kehidupan akademik, aktiviti-aktiviti bukan akademik serta kemudahan yang ditawarkan di ASPutra. Kemuncak hari ini adalah lima slot Aktiviti Pemindahan Ilmu yang diadakan di pelbagai lokasi sekitar ASPutra. Setiap slot menampilkan pendekatan pembelajaran secara langsung dan berasaskan pengalaman yang melibatkan pelbagai bidang sains dan pertanian.
Lima slot Aktiviti Pemindahan Ilmu yang dijalankan di ASPutra berlangsung dengan penuh interaktif dan meriah. Slot 1 menyaksikan para pelajar mendalami konsep Matematik melalui aktiviti menarik berkaitan segi tiga Pascal di DKA 102. Seterusnya, Slot 2 yang bertempat di Dataran Asasi 1 memperkenalkan peserta kepada bidang Pertanian menerusi demonstrasi pemprosesan kordial mangga serta permainan edukatif Agri Fun Ladder. Slot 3 pula membawa pelajar ke Makmal Fizik 1 untuk menyaksikan pelbagai demonstrasi konsep fizik yang memberi kefahaman mendalam secara praktikal. Slot 4 yang diadakan di Makmal Kimia 4 dan 5 menyerlah dengan permainan Bingo Kimia serta eksperimen gunung berapi yang menggabungkan elemen pembelajaran dan keseronokan. Akhir sekali, Slot 5 di Makmal Biologi 1 dan 2 menampilkan pameran biodiversiti haiwan serta pemerhatian terhadap hidupan mikro dalam air kolam, memberikan pendedahan langsung kepada dunia biologi secara lebih dekat dan mengujakan.
Program berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan ringan sebelum para peserta bergerak semula ke Kolej Tan Sri Aishah Ghani bagi aktiviti seterusnya. Para pelajar memberikan maklum balas yang positif, menyatakan bahawa pendekatan pembelajaran secara interaktif dan kolaboratif ini memberikan pengalaman baru yang mendalam serta mendorong minat terhadap bidang STEM dan pertanian. Para pelajar turut menunjukkan minat untuk menjadikan ASPutra sebagai salah satu pilihan utama untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya.
Kem Jati Diri Siri 3 ini bukan sahaja menjadi platform untuk pembelajaran di luar bilik darjah, malah berperanan sebagai pemangkin semangat dalam membina jati diri dan hala tuju akademik pelajar pasca-SPM.

Disediakan oleh,
Tuan Muhammad Syafiq Tuan Hassan
Pegawai Eksekutif 3 (PE3) ASPutra
Date of Input: 09/06/2025 | Updated: 09/06/2025 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor