MUDBALL: SOLUSI PENCEMARAN AIR | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » MUDBALL: SOLUSI PENCEMARAN AIR

MUDBALL: SOLUSI PENCEMARAN AIR

Sabtu, 19 Ogos 2023 – Seramai 38 orang pelajar Asasi Sains Pertanian diiringi dua orang pegawai, Cik Ermelia Rohayu Ramlan dan En. Muhammad Termidzi Abd Jamal telah menyertai program Cahaya Kasih Maybank – UPM “Pure Water Runs Life!”  anjuran bersama Pusat Pertanian Putra dan Malayan Banking Berhad (MAYBANK) bertempat di Seksyen Sayuran, Pusat Pertanian Putra. Program ini juga turut disertai oleh 160 orang peserta lain yang terdiri daripada para pegawai Maybank, Pusat Pertanian Putra serta Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

 

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar dengan menggunakan kaedah inovatif baharu iaitu “mudball” atau bebola lumpur untuk menghalang pertumbuhan alga dan memecah lumpur di dalam kolam yang kemudiannya memberikan air yang bersih dan jernih.

 

Sebanyak 700 bebola lumpur dilontarkan di kolam sekitar Unit Pasca Tuai, Seksyen Sayuran PPP oleh semua peserta. Sebelum aktiviti seterusnya iaitu penyediaan bebola lumpur dijalankan, sedikit taklimat ringkas berkaitan cara penyediaan dan kegunaan bebola lumpur telah diberikan oleh Encik Raymond Liau daripada Syarikat EM Resources Centre.

Mudball yang akan dilontarkan di kolam.

Bebola lumpur atau lebih dikenali sebagai “mudball” juga turut dikenali sebagai “Genki ball”. Penyediaan bebola lumpur ini memerlukan tiga bahan utama yang terdiri daripada tanah atas (topsoil), sekam padi dan larutan mikroorganisma bermanfaat (EM). Larutan EM perlu disediakan sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggunaan kerana larutan yang terdiri daripada campuran air, mikroorganisma bermanfaat dan molases  perlulah melalui proses fermentasi terlebih dahulu.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan mudball.

Setelah ketiga-tiga bahan utama dicampurkan dan digaul rata, bebola lumpur boleh dibentuk sebesar saiz bola tenis. Bebola lumpur yang telah siap dibentuk seterusnya akan melalui proses fermentasi selama dua minggu. Lapisan permukaan bebola lumpur yang sedia digunakan akan dilitupi fungus EM.

 

Sekam padi dicampurkan bersama tanah atas (topsoil).

Para peserta sedang menyediakan mudball.

Peserta program bersama mudball yang telah siap dibentuk.

Program Cahaya Kasih Maybank – UPM “Pure Water Runs Life!” ini diakhiri dengan sesi kuiz dalam talian melalui aplikasi Kahoot!.  Hadiah saguhati juga turut diberikan kepada 12 orang pemenang dengan mata tertinggi sepanjang kuiz. Hadiah juga disampaikan kepada tiga kumpulan pertama yang berjaya menyediakan 100 biji bebola lumpur yang memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan. Sebanyak 1200 bebola lumpur telah berjaya disediakan sepanjang program berlangsung dan akan digunakan pada masa akan datang.

 

Sebahagian daripada pelajar  Asasi Sains Pertanian (ASPer) yang telah menyertai program Cahaya Kasih Maybank – UPM “Pure Water Runs Life!”.

Disediakan oleh:

Cik Ermelia Rohayu binti Ramlan

 

 

Date of Input: 12/09/2023 | Updated: 12/09/2023 | hasniah

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEbSAO~