Pertandingan Futsal ASPutra 2025, serlah Semangat Kesukanan Pelajar ASPer20
SERDANG, 14 April – Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra) melalui Majlis Perwakilan Pelajar Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (HiCOM) telah berjaya menganjurkan Pertandingan Futsal ASPutra 2025, yang berlangsung dari 14 hingga 22 April 2025, bertempat di Gelanggang Bola Tampar, Kolej Tan Sri Aishah Ghani, UPM. Program ini merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan sebagai platform untuk pelajar Program Asasi Sains Pertanian Kohort 20 (ASPer20) melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti riadah, di samping menyokong keseimbangan emosi dan mental dalam kalangan pelajar. Selain bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, pertandingan ini juga berperanan memperkukuh nilai kerjasama, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta.
Menurut Daniesh Aqashah Hashimi yang merupakan Pengarah Aktiviti, program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 200 pelajar mewakili 20 kuliah, yang bersaing secara kompetitif namun dalam suasana penuh harmoni. Pertandingan ini dijalankan secara berkumpulan, dan setiap pasukan menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung. Seorang peserta, Ahmad Ilhan, berkata,“Pertandingan seperti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi ruang untuk kami berehat seketika daripada tekanan akademik”.

Sesi fotografi bersama penyokong ASPer20.
Pertandingan ini dimulakan dengan peringkat kumpulan melibatkan empat kumpulan iaitu Kumpulan A, B, C dan D, masing-masing terdiri daripada lima kuliah. Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke peringkat zon penyingkiran. Peringkat suku akhir dan separuh akhir yang berlangsung pada 21 dan 22 April, menyaksikan aksi sengit dan penuh semangat kesukanan daripada semua pasukan. Antara pasukan yang mara termasuk Kuliah 5, 14, 11 dan 3, yang mempersembahkan corak permainan tersendiri dan menarik perhatian ramai.
Pertandingan berakhir dengan kejayaan Kuliah 5 yang dinobatkan sebagai juara, setelah menewaskan Kuliah 14 di perlawanan akhir. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Kuliah 11 selepas perlawanan penentuan yang berlangsung pada hari yang sama. Majlis penutup dan penyampaian hadiah turut diadakan bagi menghargai penyertaan serta usaha semua pasukan yang terlibat sepanjang kejohanan. Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah, Pengarah ASPutra, turut mengucapkan tahniah kepada pemenang, peserta, Exco Sukan Dan Seni Budaya HiCOM serta Encik Tuan Muhammad Syafiq Tuan Hassan yang bertugas selaku Pegawai Pemantau program atas kejayaan penganjuran program yang bermanfaat ini.

Sesi fotografi bersama para pemenang.
Penganjuran Pertandingan Futsal ASPutra ini diharap dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja mencungkil bakat sukan dalam kalangan pelajar, malah memperkukuh nilai-nilai murni seperti kerjasama, disiplin dan semangat juang. Inisiatif ini juga menjadi bukti komitmen ASPutra dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum sejajar dengan falsafah pendidikan negara.

Sesi fotografi para pemenang Pertandingan Futsal ASPutra 2025 bersama Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah, Pengarah ASPutra.
Date of Input: 30/04/2025 | Updated: 30/04/2025 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor