Program Kempen Kesedaran Pencemaran Mikroplastik UPM Dan Pelajar SMK Tekek, Pulau Tioman, Pahang | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » Program Kempen Kesedaran Pencemaran Mikroplastik UPM dan pelajar SMK Tekek, Pulau Tioman, Pahang

Program Kempen Kesedaran Pencemaran Mikroplastik UPM dan pelajar SMK Tekek, Pulau Tioman, Pahang

Program kesedaran tentang pencemaran mikroplastik telah dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek, Pulau Tioman, Pahang pada 5 Julai 2022 (Selasa) jam 8.00 pagi. Program ini merupakan sub-projek di bawah Aktiviti Komuniti Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dianjurkan oleh Fakulti Sains, UPM bersama rakan strategik, Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia) dan Jabatan Kimia Malaysia Negeri Pahang (Kimia Pahang). Seramai 19 orang pelajar Tingkatan 5 SMK Tekek terlibat dalam program ini beserta 2 orang guru dan 6 orang fasilitator dari UPM.

 

Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang ancaman pencemaran cebisan plastik dengan saiz mikro dan nano terhadap hidupan lautan seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan, serta kesannya terhadap manusia untuk jangka masa panjang. Pendedahan seperti ini amat penting bagi memberikan pengetahun kepada generasi muda dan orang awam tentang kesan pencemaran mikroplastik terhadap ekosistem dan alam sekitar. Ini secara tidak langsung akan memberikan panduan kepada orang awam tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing sama ada secara individua atau secara berkelompok, tentang cara-cara mengurangkan beban sisa pencemaran mikroplastik di atas muka bumi.

 

Program ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu sesi ceramah dan sesi praktikal. Sesi ceramah telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Nurul Ain Binti Md. Jamil dari Bidang Kimia, Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM. Sesi ceramah ini bertujuan memberikan pendedahaan kepada para pelajar tentang punca pencemaran mikroplastik, kesan pencemaran dan langkah-langkah pencegahan untuk menyelamatkan bumi daripada permasalahan lambakan sisa mikroplastik. Sepertimana diketahui, sisa mikroplastik dan nanoplastik memberikan kesan mudarat terhadap rantaian makanan haiwan dan manusia. Pencegahan terhadap pembentukan sisa mikroplastik dan nanoplastik ini haruslah bermula daripada tabiat manusia agar menguruskan sisa plastik dengan cara yang berhemah.

 

Sesi praktikal pula melibatkan para pelajar yang menjalankan sesi pengasingan mikroplastik dari pasir pantai dengan bantuan para fasilitator dari UPM. Mikroplastik yang telah diasingkan telah diukur dan direkodkan secara sistematik untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang cara-cara pensampelan mikroplastik yang betul. Para pelajar SMK Tekek telah memberikan kerjasama yang sangat baik dalam sesi praktikal ini kerana ia dijalankan secara interaktif dan terdapat peluang untuk para pelajar memenangi hadiah sekiranya dapat mengasingkan mikroplastik dan merekodkannya mengikut klasifikasi yang betul.

 

Program ini telah mendapat sokongan yang padu daripada Pengetua SMK Tekek iaitu YBrs. En. Ropizalhazri Bin Ismail serta kerjasama yang erat daripada para guru SMK Tekek iaitu Cikgu Faaris Luqman bin Abdul Fatah dan Cikgu Nur Syahirah binti Ruzelan. Program ini telah dijayakan oleh para pegawai dari UPM iaitu Prof. Madya Dr. Siti Nurul Ain Md. Jamil (Bidang Kimia, Pusat Asasi Sains Pertanian), Dr. Norizah Abdul Rahman dan Dr. Mohd. Hanif Bin Wahid (Jabatan Kimia, Fakulti Sains), Dr Hamdan Mohamed Yusof (Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan) serta dua orang pelajar Fakulti Sains iaitu Cik Amirah Batrisyia Binti Mohd Badrul dan Cik Syazana Hanis Binti Abdul Malek.

 

Pihak penganjur dari UPM amat berbesar hati atas kerjasama erat daripada pihak SMK Tekek dan berharap program ini telah memberikan manfaat kepada para peserta yang terlibat. Semoga usahasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

 

Gambar 1: Perjumpaan bersama Pengetua SMK Tekek, Pulau Tioman iaitu En. Ropizalhazri Bin Ismail (dua dari kiri)

 

Gambar 2: Para penganjur program dari UPM bersama para guru SMK Tekek, Pulau Tioman

 

Gambar 3: Para pelajar Tingkatan 5 daripada SMK Tekek yang terlibat dalam program kempen kesedaran mikroplastik

 

Gambar 4: Prof. Madya Dr. Siti Nurul Ain dari UPM menyampaikan ceramah tentang kesedaran terhadap pencemaran mikroplastik kepada para pelajar SMK Tekek

 

Gambar 5: Para pelajar SMK Tekek mengasingkan cebisan mikroplastik dari pasir pantai dan mengkelaskan cebisan tersebut mengikut kategori yang betul

 

Gambar 6: Para pelajar SMK Tekek mempelajari cara mengasingkan dan mengkelaskan cebisan plastik dengan cara yang betul

 

Gambar 7: Para pelajar SMK Tekek merekodkan perincian tentang cebisan plastik yang terdapat dalam sampel pasir

 

Gambar 8: Proses pensampelan cebisan plastik di dalam makmal pengajaran SMK Tekek

 

Gambar 9: Prof. Madya Dr. Siti Nurul Ain menyampaikan panduan tentang pensampelan mikroplastik kepada para pelajar SMK Tekek

 

Berita disediakan oleh : Prof. Madya Dr. Siti Nurul Ain Binti Md. Jamil

Date of Input: 06/09/2022 | Updated: 06/09/2022 | emma

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEbNAB~