SERDANG, 27 Oktober – Program Putra Agro Exploration (PagE) 2024 telah berlangsung dengan jayanya bagi memenuhi keperluan kursus wajib ASA0104 Industri Pertanian dan Makanan. Program yang dinanti-nantikan oleh pelajar ini telah diadakan di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka dan dihadiri oleh 766 orang pelajar Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra).
Selain dari untuk memenuhi keperluan kursus wajib ASA0104 Industri Pertanian dan Makanan, program ini telah dilaksanakan untuk memupuk kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar ASPutra serta memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada pelajar ASPutra. Program PAgE menekankan konsep pembelajaran dari gedung ilmu ke lapangan yang memerlukan pelajar menjalani aktiviti luar kelas. Program ini merupakan salah satu aktiviti dalam takwim tahunan di Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra).
Program PAgE 2024 telah berlangsung secara bersiri dimana siri satu telah diadakan pada 18 Oktober 2024 hingga 20 Oktober 2024 dan siri dua pula diadakan pada 25 Oktober 2024 hingga 27 Oktober 2024. Seramai 300 orang pelajar telah memberi maklum balas dan rata-rata memberi maklum balas yang sangat positif. Pelbagai ragam cerita dan memori indah telah dilakarkan melalui lima modul aktiviti yang telah dijalankan. Program ini turut berjaya memupuk kerjasama dan meningkatkan motivasi diri setiap pelajar agar terus berusaha dan maju jaya dalam segenap aspek kehidupan.
Ybhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, turut mengiktiraf kepentingan program ini semasa ucapan beliau sempena Majlis Penutup PagE 2024 yang telah diadakan pada 20 Oktober 2024 (Ahad) di Dewan Puncak Ilmu, Kem Permata Resort. “Penganjuran program dan aktiviti yang mampu memperkukuh jati diri, perpaduan dan semangat patriotism adalah sangat penting dalam membangunkan graduan yang berkarakter yang mampu mengharungi cabaran mendatang.” kata beliau.
Gimik penyerahan bendera UPM kepada pihak kem sebagai simbolik penyerahan pelajar kepada pihak kem telah disempurnakan oleh Ybhg. TNCAA selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah sempena Program PagE 2024.




Date of Input: 18/11/2024 | Updated: 18/11/2024 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor