Research Webinar @Asper Series 3 Experience From Lab To Patent | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» NEWS » Research Webinar @Asper Series 3 Experience from Lab to Patent

Research Webinar @Asper Series 3 Experience from Lab to Patent

Pada 2 Disember 2022 (Jumaat) yang lalu, Jawatankuasa Penerbitan dan Penyelidikan Asper telah menganjurkan webinar bertajuk “Experience from Lab to Patent” yang merupakan siri ke 3 webinar penyelidikan Asper bagi tahun 2022.  Pihak penganjur telah mengundang Dr. Nur Kartinee Kassim dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM untuk menyampaikan sesi perkongsian pengalaman beliau yang disertai oleh 25 peserta yang terdiri daripada penyelidik dan pelajar pascasiswazah daripada Asper, PTJ lain di UPM. Webinar tersebut telah dipengerusikan oleh Dr. Norazlinaliza Salim dan berlangsung selama kira-kira satu jam setengah.

 

Dr. Nur Kartinee Kassim telah berkongsi tentang pengalaman beliau berkaitan Hakmilik Intelek, Paten dan proses terlibat dalam membawa hasil penyelidikan dari makmal sehingga dapat di paten dengan perjanjian berlesen. Penceramah telah membincangkan kepentingan isu paten kepada penyelidik yang antaranya merupakan satu bentuk perlindungan kepada idea penyelidikan dan seterusnya berpotensi untuk dikembangkan sebagai satu bentuk perniagaan yang boleh dikomersialkan dengan kerjasama pihak industri.

 

Seterusnya, beliau menjelaskan keperluan dan kriteria sesuatu idea sebelum layak dipatenkan seperti isu berkaitan ketulinan idea dan tahap kegunaan idea tersebut di pasaran. Di antara perkara yang perlu diambil kira oleh penyelidik berkenaan topik ini adalah tentang proses pencarian paten, melindungi kerahsiaan dapatan kajian, mengembangkan dapatan kajian ketahap industri dan mencari pihak industri yang berminat sehinggalah akhirnya hasil penyelidikan dapat dikomersialkan.

 

Selain itu, Dr. Nur Kartinee Kassim menyatakan cabaran yang bakal dilalui oleh penyelidik dalam proses ini yang kadangkala melibatkan masa yang panjang tetapi ia bukan suatu halangan kerana melindungi hasil penyelidikan adalah lebih penting dan proses ini tidaklah terlalu sukar seperti yang dibayangkan oleh kebanyakan penyelidik.

 

Diharapkan program ini akan memberikan manfaat kepada para peserta khususnya penyelidik dari  ASPer agar dapat menghasilkan lebih banyak paten ke atas hasil penyelidikan bagi meningkatkan reputasi penyelidik sendiri dan UPM sebagai universiti penyelidikan yang kekal cemerlang dan menyumbang kepada kemakmuran negara.

 

Disediakan oleh: Azham Bin Mohamad

Date of Input: 29/12/2022 | Updated: 29/12/2022 | emma

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEbTAb~