
PENGENALAN
Dunia baru-baru ini digemparkan dengan kemuncak konflik antara negara Iran dan Israel apabila masing-masing melancarkan serangan dan peluru berpandu antara satu sama lain. Peperangan ini bermula pada 13 Jun 2025 apabila tentera Israel telah melancarkan serangan ke atas Iran. Kesannya, Ketua Turus Angkatan Tentera Iran Mohammad Bagheri, Komander IRGC Hossein Salami, beberapa komander kanan dan saintis telah terbunuh dalam serangan tersebut. Maka, Iran telah bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa kawasan Israel seperti Tel Aviv, Holon, Ramat Gan dan Beer Sheva. Peperangan ini berlanjutan sehinggalah pada 24 Jun 2025, gencatan senjata telah dipersetujui antara Iran dan Israel. Meskipun peperangan ini hanya berlaku dalam 12 hari sahaja, adakah sektor pertanian Malaysia turut terkesan?. Maka, penulisan ini akan membincangkan mengenai Kesan Peperangan Iran-Israel kepada Sektor Pertanian di Malaysia.
KRONOLOGI PERANG IRAN-ISRAEL

sumber : www.mapim.org
KESAN PEPERANGAN KEPADA PERTANIAN MALAYSIA
Secara amnya, Malaysia kurang terjejas secara langsung oleh konflik Iran-Israel dalam aspek import hasil pertanian. Namun begitu, Malaysia tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan proaktif untuk memastikan sektor pertanian dan keterjaminan makan sentiasa mampan. Berikut adalah beberapa implikasi secara langsung dan tidak langsung kepada sektor pertanian Malaysia akibat daripada konflik ini.
1. Kesan Terhad Terhadap Import Makanan.
Mengambil petikan daripada Kosmo! bertarikh 15 Jun 2025, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah menyatakan bahawa Malaysia tidak bergantung tinggi hasil pertanian dan makanan daripada Iran kerana adalah disebabkan kesan rantaian makanan sekatan ekonomi kuasa Barat terhadap Iran. Jika ada pun hasil pertanian yang diimport dari Iran adalah komoditi kurma dan kekacang melalui pihak ketiga seperti Dubai.
2. Kenaikan Global Kos Bahan Api dan Input Pertanian.
Merujuk sumber Reuters (25 Jun 2025), konflik ini telah menyebabkan harga minyak mentah Brent meningkat dari US $70 setong kepada US $81 setong pada 23 Jun 2025 sebelum harga kembali menurun kepada US $67 setong pada hari Selasa selepas Presiden U.S Donald Trumps mengumumkan gencatan senjata yang dipersetujui antara Israel dan Iran. Mengikut kajian, Malaysia turut mengalami lonjakan dalam harga input pertanian seperti baja, racun perosak dan bahan bakar meskipun Malaysia adalah negara pengeksport minyak apabila harga minyak global naik. Kesan kenaikan harga input pertanian ini memberi kesan tidak sihat kepada petani seperti bebanan kos, margin keuntungan yang kecil dan hasil pertanian merundum kerana kekurangan baja yang baik.
Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), impak ini masih lagi terkawal tetapi jika konflik ini berlanjutan dalam tempoh yang lama, harga minyak mentah berpotensi mencecah US $100/setong, dan ini akan memberi tekanan ke atas Ringgit dan kos mengimport input pertanian.
3. Kenaikan Harga Bahan Api Bio dan Komoditi Pertanian.
Konflik peperangan ini telah mendorong pembelian bahan api alternatif disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah Brent. Kesannya, harga minyak sawit mentah telah meningkat melebihi 6% manakalah minyak soya naik sebanyak 11% bertepatan dengan dasar American Samoa Environmental Protection Agency (EPA AS) yang meningkatkan mandat bahan api bio. Meskipun ini memberi keuntungan besar kepada pengeksport Malaysia tetapi tetap juga meningkatkan kos makanan dan pengeluaran domestik. Bagi komoditi pertanian, terdapat beberapa komoditi yang diramal berlakunya kenaikan harga. Dalam industri ternakan, Malaysia bergantung sepenuhnya kepada jagung, soya dan gandum yang diimport dan diproses menjadi dedak haiwan ternakan. Sekiranya berlaku lonjakan harga pada dedak haiwan ternakan, maka harga daging, ayam dan telur akan turut meningkat.
4. Gangguan logistik dan Rantaian Bekalan
Konflik peperangan ini berpotensi menjejaskan laluan maritim Selat Hormuz sekiranya konflik ini berpanjangan. Selat Hormuz adalah laluan yang menghubungkan Teluk Parsi dan Laut Arab, malah selat ini adalah laluan 20% bekalan minyak mentah dunia, menjadikan laluan yang sangat strategik. Pada 22 Jun 2025, Parlimen Iran teleh meluluskan langkah untuk menutup Selat Hormuz kepada laluan trafik tentera laut susulan serangan AS ke atas tiga fasiliti nuklear Iran di Fordov, Natanz dan Isfahan.

Peta Selat Hormuz
Penutupan laluan maritim ini bukan sahaja menjejaskan bekalan minyak, malah berpotensi menyebabkan kekangan bekalan kontemporari ke seluruh dunia. Malah, penutupan ini juga memberi kesan kepada kenaikan kadar insuran kapal, peningkatan kos pengangkuran komoditi pertanian terutamanya baja, benih dan peralatan.
5. Implikasi Keselamatan Makanan dan Pengeluaran Domestik.
Jabatan Statistik Malaysia merekodkan bahawa Malaysia telah mencapai 100.0 peratus Kadar Sara Diri (SSR) bagi 26 item pertanian terpilih bagi tahun 2023. Namun begitu, masih banyak komoditi seperti daging lembu, daging kambing, susu, cili dan bawang bergantung kepada import. Maka jika konflik ini berpanjangan, semakin banyak komoditi yang merundum peratusnya bagi Kadar Sara Diri. Bagi risiko jangka panjang, pengeluaran pertanian bagi domestik semakin terjejas sekiranya kos input semakin naik. Akibatnya bekalan makanan akan terjejas disebabkan oleh hasil pertanian yang sedikit dan tidak berkualiti.

Kadar Kebergantungan Import (IDR)
LANGKAH- LANGKAH PROAKTIF
Tiada langkah-langkah drastik yang diambil oleh Malaysia kerana implikasi konflik dua buah negara tersebut terhadap pertanian Malaysia adalah terhad dan kurang terjejas. Namun begitu, Malaysia tetap mengambil tindakan proaktif yang holistik dan responsif untuk memastikan sektor pertanian dan makanan Malaysia kekal relevan dan mampan.

Kerajaan Malaysia dalam usaha mengukuhkan pertanian dengan subsidi mikro melalui Agrobank dan Takaful Pertanian bagi melindungi petani daripada kejutan harga dan gangguan bekalan ini. Sebagai contohnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Agrobank telah melancarkan Skim Perlindungan Takaful Agromakanan: Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang akan dimanfaatkan oleh pesawah di seluruh Malaysia. Perlindungan takaful ini menawarkan hingga RM3,000 untuk bencana alam dan RM1,500 bagi serangga perosak dan penyakit tanaman. Inisiatif ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu pesawah seluruh negara ketika menghadapi bencana alam di samping memperkukuh rantaian makanan negara. (Utusan Borneo Online, 2024).
Malaysia dan Thailand menguatkan rantaian bekalan serantau dalam sektor pertanian menerusi pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tujuan untuk meluaskan kerjasama teknologi pertanian, penyelidikan dan keterjaminan makanan (The Star, 2025). Menerusi MoU ini, kedua dua negara menyokong keterjaminan makanan serantau melalui hubungan saling bantu sekiranya berlaku gangguan pada rantaian bekalan hasil pertanian.
Kesimpulannya, konflik peperangan Iran-Israel ini kurang memberi kesan yang drastik kepada sektor pertanian Malaysia daripada aspek kos pertanian, dan bekalan hasil pertanian dan makanan. Ini kerana Malaysia telah merangka dan mengambil langkah awal untuk memastikan bekalan pertanian dan makanan tidak terjejas sekiranya berlaku situasi global seperti peperangan dan gangguan bekalan makanan.
Rujukan
Disediakan oleh:
Muhammad Termidzi Bin Abd Jamal
Unit Pertanian
Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia.
Date of Input: 07/07/2025 | Updated: 07/07/2025 | hasniah

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor