Pilihan Pengguna: Tomato Organik Atau Bukan Organik? | CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTICLE » Pilihan pengguna: Tomato organik atau bukan organik?

Pilihan pengguna: Tomato organik atau bukan organik?

Pilihan pengguna: Tomato organik  atau bukan organik?

Tomato adalah sayuran yang sering digunakan dalam ramuan masakan masyarakat Malaysia kerana ia penuh dengan nutrisi dan kaya dengan rasa. Tomato digunakan dalam pelbagai cara di dalam masakan, sama ada dimakan mentah sebagai salad, dicampur menjadi sambal pedas, atau digunakan untuk menambah rasa dalam tumisan, sos, sup dan kari.  Terdapat beberapa variasi bentuk tomato dengan kualiti tersendiri, termasuk bulat, lonjong dan bertangkai. Untuk memastikan bekalan tomato yang tinggi di negara ini, ia ditanam secara meluas di kawasan tanah tinggi yang sejuk di Pahang dan Sabah.

Tomato bukan sahaja berguna sebagai ramuan untuk memasak tetapi yang lebih utama kerana ia mengandungi nutrisi dan antioksidan yang penting untuk kesihatan kita. Kandungan sebatian antioksidan seperti likopen, vitamin C, beta-karoten, fenolik, dan flavonoid di dalam tomato memainkan peranan yang besar dalam melindungi badan daripada kerosakan sel, meningkatkan sistem imun, dan menurunkan risiko penyakit kronik.  Kandungan antioksidan lebih banyak di bahagian  kulit tamoto berbanding bahagian yang lain dalam tomato. Manakala,  kandungan likopen serta vitamin C dapat diramalkan dengan kepekatan  warna kulit tomato iaitu semakin pekat warna merah tomato, semakin tinggi kandungan likopen dan vitamin C 

 

 

Dalam industri pertanian moden, tomato dihasilkan melalui du

a kaedah utama: penanaman secara organik dan secara konvensional (bukan organik). Pertanian organik merupakan satu konsep pertanian mampan yang tidak mencemarkan alam sekitar. Justeru itu, tomato organik ditanam secara semulajadi tanpa penggunaan bahan sintetik seperti racun perosak atau baja kimia. Dalam pertanian organik, baja semula jadi seperti kompos dan najis haiwan digunakan untuk menyuburkan tanah. Selain itu, kawalan penyakit dan serangga juga dilakukan secara semula jadi melalui tanaman penolak serangga, penggunaan serangga pemangsa dan penggiliran tanaman. Sebaliknya, penanaman tomato secara konvensional menggunakan baja dan racun perosak sintetik bagi mendapat hasil yang tinggi dalam masa singkat. Kesannya penanaman secara konvensional dapat menghasilkan tanaman tomato berskala besar dengan kos yang jauh lebih murah berbanding penanaman secara organik. Oleh itu, tomato bukan organik dapat dijual dengan harga lebih murah dan meluas.

Penyelidikan  kandungan nutrisi tomato menunjukkan tomato organik mengandungi antioksidan  yang tinggi secara relektif berbanding tomato bukan organik. Hal ini disebabkan tomato organik menghasilkan bahan bioaktif seperti  seperti likopen, vitamin C, beta-karoten, fenolik, dan flavonoid sebagai tindak balas semulajadi apabila diserang oleh serangga perosak memandangkan tiada racun perosak sintetik digunakan sebagai pelindung diri. Walau bagaimanapun, tomato bukan organik juga mengandungi antioksidan pada kadar yang lebih rendah.

Pemilihan  pengguna antara tomato organik dan bukan organik mestilah mengutamakan faktor kesihatan, bajet, kemudahan akses dan kesedaran terhadap alam sekitar. Jika pengguna ingin mengurangkan pendedahan kepada racun perosak, tomato organik lebih sesuai dipilih kerana ia ditanam tanpa penggunaan bahan kimia sintetik dan lebih mesra alam. Di samping itu, tomato organik mempunyai antioksidan yang lebih tinggi untuk melindungi sel badan dari radikal bebas, meskipun, harga tomato organik lebih mahal berbanding tomato bukan organik. Walau bagaimanapun, sekiranya pengguna tidak mempunyai akses kepada produk organik dan mempunyai bajet yang rendah, tamoto bukan organik masih boleh menjadi pilihan yang realistik dengan harga yang lebih murah. Walaupun, pada kulit tomato bukan organik diselaputi sisa-sisa racun perosak tapi tahapnya masih boleh dikawal dengan mencuci tomato tersebut sebelum selamat dimakan.    

Sebagai kesimpulan, pilihan  samaada ingin membeli tomato organik atau bukan organik bergantung kepada keutamaan setiap individu. Kedua-dua jenis tomato ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri tetapi tetap mengandungi nutrisi yang sama walapun pada kadar yang berlainan. Fakta utama yang perlu diambil perhatian oleh pengguna, nutrien dan antioksidan di dalam tomato sangat bermanafaat untuk kesihatan kita. Justeru itu, pengambilan tomato sebagai sumber makanan yang sihat patut diamalkan.

 

Rujukan

Hallmann, E. (2012). The influence of organic and conventional cultivation systems on the nutritional value and content of bioactive compounds in selected tomato types. Journal of the Science of Food and Agriculture, 92(15), 2840–2848.

Hengky, H. (2016). Competition gaps of tomatoes’ industries in Cameron Highland, Malaysia. Business and Economic Research, 6(2), 367–378.

Tuyen, P. T., Khang, D. T., Minh, L. T., Minh, T. N., Ha, P. T. T., Elzaawely, A. A., & Xuan, T. D. (2016). Phenolic compounds and antioxidant activity of Castanopsis phuthoensis and Castanopsis grandicicatricataInternational Letters of Natural Sciences, 55, 77–87.

 

Date of Input: 09/10/2025 | Updated: 09/10/2025 | hasniah

MEDIA SHARING

CENTRE FOR FOUNDATION STUDIES IN SCIENCE OF UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
X, (05:47:17pm-05:52:17pm, 29 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]