Dalam kehidupan seharian, kita sering mendapati diri membeli lebih banyak barangan daripada yang benar-benar diperlukan dan tingkah laku ini lazimnya dikaitkan dengan tekanan sosial. Namun begitu, banyak keputusan pembelian sebenarnya berpunca daripada pengaruh psikologi dalaman dan bukannya desakan luaran. Fenomena ini dikenali sebagai Kesan Diderot.
Kesan Diderot merujuk kepada satu fenomena psikologi di mana pemilikan barangan baru mencetuskan tindak balas berantai yang membawa kepada pembelian tambahan (Santos et al., 2025). Konsep ini berasal daripada seorang ahli falsafah Perancis abad ke-18, Denis Diderot. Dalam tulisannya “Regret on Parting with My Old Dressing Grown”, Diderot menceritakan pengalaman menerima sehelai jubah mewah baharu yang menyebabkan barangan miliknya yang sedia ada kelihatan tidak lagi sesuai. Akibatnya, beliau merasakan dirinya perlu menggantikan barangan tersebut dengan yang lebih elegan, sekali gus membawa kepada tekanan kewangan.
Pada masa kini, Kesan Diderot menjadi lebih ketara akibat strategi pemasaran moden yang kebanyakannya menggunakan media sosial. Pengenalan sesuatu barangan baru sering menggalakkan proses penaiktarafan yang berterusan. Ironinya, “penaiktarafan” ini boleh menjadi satu bentuk penurunan taraf tanpa sedar kerana pemilikan baru boleh menimbulkan tekanan, beban kewangan serta mengurangkan kebebasan peribadi. Kesan ini jelas dapat dilihat dalam kehidupan harian. Sebagai contoh, pembelian sebuah telefon pintar baru sering membawa kepada pembelian sarung telefon, pengecas dan fon telinga yang sepadan. Begitu juga, pembelian sebuah kereta baru boleh menyebabkan perbelanjaan tambahan untuk aksesori (Stemper, 2026).
Bagi mengatasi Kesan Diderot, beberapa strategi boleh diamalkan. Pertama, mengamalkan perbelanjaan secara berhemah dengan mempertimbangkan jumlah kos keseluruhan bagi mengelakkan pembelian tambahan. Kedua, mengamalkan peraturan “beli satu, derma satu” bagi menggalakkan kebebasan kewangan yang lebih baik. Ketiga, memilih kehidupan frugal untuk mengurangkan tekanan untuk menaik taraf kehidupan dan memilih kebebasan kewangan (White, 2025). Dengan meningkatkan kesedaran terhadap Kesan Diderot dalam kehidupan seharian, individu dapat membuat keputusan pembelian yang lebih berhemah dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa fenomena ini.

Rujukan:
Santos, A., António, N., & Rita, P. (2025). The Diderot effect: a data-driven validation. Journal of Marketing Analytics. https://doi.org/10.1057/s41270-024-00371-6
Stemper, D. (2026). The Diderot Effect: The consumer trap and its impact explained simply. Dr. Stemper. The Diderot Effect: The consumer trap and its impact explained simply
White, R. G. (2025, April 17). The Cautionary Tale of Diderot (and How He Spent His Dough): The Diderot Effect captures how one purchase can trigger a spending spree. Psychology Today.
Penulis: Dr. Ezyana Kamal Bahrin
Unit Biologi, ASPutra
Tarikh Input: 08/02/2026 | Kemaskini: 08/02/2026 | emma

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor